Jumaat, 28 Februari 2014

Disebalik Suara.... Rahim Kedol

Bismillahirrahmanirrahim...., Bagi segmen disebalik suara yang pertama ni…, kami ingin memperkenalkan salah seorang “orang lama” atau “otai” dalam dunia alih suara. Ada diantara kita mungkin mengenalinya sebagai seorang pelakon atau penyanyi, namun ramai yang tidak mengetahui  beliau merupakan salah seorang pengalih suara dan telah melibatkan diri dalam dunia alih suara lebih daripada 30 tahun dan masih aktif sehingga kini. Insan yang berbakat besar yang dimaksudkan ini ialah…, Encik Rahim Kedol atau lebih mesra dipanggil abang Rahim dikalangan penggiat seni alih suara Malaysia. Krew SangPengalihSuara berpeluang menebual beliau baru-baru ini selepas beliau selesai sesi melakukan proses rakaman suara. Jom kita layan….


Saudara Rahim Kedol mempunyai keunikan membuat pelbagai jenis suara

Bagaimana boleh terlibat dalam dunia alih suara?
Sebenarnya sebelum abang bermula dengan dubbing cerita-cerita dari luar Negara, abang banyak terlibat dengan dubbing  filem-filem dan drama tempatan. Pada masa tu individu yang bertanggungjawab memperkenalkan abang untuk dubbing filem tempatan adalah Al-marhum M Osman

Boleh kongsikan permulaan abang sebagai pengalih suara?
Abang bermula dengan lakonan,  jadi apabila zaman drama agak suram dan abang kurang mendapat tawaran berlakon pada masa tu, saudara abang iaitu Al-marhum Nazir mempelawa abang untuk menghadiri ujibakat di RTM, al-marhum Nazir ni merupakan salah seorang pengalih suara di RTM (juga seorang Dubbing Director), jadi dialah bawa abang ke RTM dan memperkenalkan abang dengan Dubbing Director RTM iaitu saudara Adnan Ali. Apabila dah ujibakat dan nasib menyebelahi abang dan abang sempat terlibat dalam dua siri drama di RTM sebab selepas tu RTM tidak lagi melakukan proses dubbing di RTM sebaliknya diserahkan kepada studio2 luar atau swasta seperti HVD,Take One Production dan beberapa studio yang lain

Bersama pelakon ketika sesi penggambaran drama

Bila abang mula berlakon ya?
Abang mula berlakon dari zaman hitam putih lagi,tapi masa tu abang banyak memegang watak tambahan untuk drama-drama RTM ,antara yg popular masa tu drama bertajuk osman dan afsan, tapi sebenarnya abang  bermula dengan teater masa zaman2 Razali Buyong,kemudian baru berlakon drama. Itu pun belum terus-terus  jadi pelakon, abang bermula dengan kerja-kerja belakang tabir, jadi krew filem dulu dan baru diserap sebagai pelakon

Filem abang ada berlakon?
Ada, filem Kala diarahkan oleh M Osman

Abang ada beritahu yang abang ada meminjamkan suara untuk filem-filem tempatan, boleh beritahu filem apa?
Banyak juga tapi antara yang abang ingat ialah Filem Mira Edora, Antara pelakon yang membintagi filem tu ialah Mustafa Kamal,Noor  Kumalasari, Rahim Maarof dan heroinnya ialah Julia Rais,dalam filem ni abang menggantikan keseluruhan suara Rahim Maarof, kerana pada masa tu lagu nyanyian Rahim Maarof iaitu “istana menanti”  tengah meletup-letup dan beliau sibuk dengan promosi,jadi abang dipanggil untuk meminjamkan suara untuk watak Rahim Maarof dalam cerita ni. Pengarah untuk filem ni ialah saudara Zul M Osman. Selain dari tu, dulu-dulu kerajaan Malaysia dan Indonesia banyak melakukan usahama untuk terbitkan filem dan drama,jadi babak2 yang dilakonkan oleh pelakon Indonesia perlu dialih suara ke bahasa Malaysia dan abang ada terlibat sama. Kerja-kerja rakaman alih suara banyak dilakukan di studio Panca Delima milik Dato Jins Samsudin dan diarahkan oleh saudara Zul Salleh Ghani.

Ingat lagi tak cerita ni?

Siapa lagi rakan-rakan artis yang seangkatan dengan abang dalam alih suara yang abang masih ingat?
Afida S, Al-marhum M rajoli,Al-marhum  M osman, Hjh Wan chik dan Raissudin Hamzah(bapa Siti Sarah)

Selain berlakon abang ada menyanyi?
Menyanyi ni sebenarnya main2 je,sekadar suka2, tp abang pernah menjadi juara Bintang Nyanyian dalam satu pertandingan anjuran rukun tetangga hospital pada tahun 85, dan pada masa tu agak meriah sambutannya

Selain berlakon,menyanyi,mengalih suara,Apa lagi yang abang buat?
Abang ada juga menjadi juruacara untuk majlis-majlis kahwin dan korporat

Projek terbaru?
Berlakon drama bertajuk Emon Sister  dan akan ditayangkan di RTM

Nasihat untuk mereka yang nak terlibat dalam dunia alih suara?
Bagi abang disiplin adalah perkara utama,jika dulu sekali masuk studio kena masuk 5- 6 orang serentak, bila salah seorang tak datang atau terlambat yang lain kenalah tunggu, jadi ini menyusahkan orang lain, selain tu minat pun kena ada, kena datang tengok dulu, ada kesabaran untuk belajar, sanggup ditegur dan menerima nasihat, boleh tahan lasak - sebab ramai yang ingat dubbing ni cuma kerja bercakap,tapi sebenarnya lebih daripada tu,dan memerlukan komitmen yang tinggi dan ada masanya pukul 2 3 pagi masih lagi di studio,semangat setiakawan pun sangat penting,kalau semangat setiakawan tak ada bila masanya dubbers nak “naik” sama2 dan nak steady hidupnya, pakatnya bersama, buat kerana nak cari rezeki, buat kerja bagus2 dalam setiap kerja yang kita lakukan


INSPECTOR MEGURE: hahaha...Jangan cuba nak lari! Mana mau pigi haaa??
P/S: Abang nampak muda 10 tahun pakai baju DUB...hehehe

Soalan terakhir, Cerita apa bagi abang yang paling seronok dialihsuara?
Kalau dulu-dulu memang cerita dari Brazil dan kalau cerita baru bagi abang Detective conan.

Itulah serba sedikit cerita “disebalik suara” apa yang kami boleh kongsikan untuk anda diluar sana. Untuk segmen “disebalik suara” akan datang kami akan terus memperkenalkan siapakah suara-suara disebalik watak-watak animasi dan drama alihsuara di televisyen. Buat seiyuu-seiyuu di Malaysia…, bersiap sedia untuk diterjah oleh krew2 kami. Oppps! Sebelum terlupa…, di bawah ni kami ada senaraikan antara cerita-cerita yang dialihsuara oleh Encik Rahim Kedol dan watak yang dipegang oleh beliau. Selain dari itu, bagi mereka yang berminat untuk menggunakan khidmat Encik Rahim Kedol untuk rakaman suara drama,iklan,berlakon,ataupun juruacara majlis, bolehlah hubungi beliau di FB beliau iaitu www.facebook.com/rahim.kedol

hmmm....setiap kali ada pembunuhan mesti ada Conan..kena siasat ni!

1)      Detective Conan = Inspector Megure
2)     Hawaii Five O = Joe / Hiro
3)      Hero 108 = Mr No Hands / Parrot King
4)      Fairly Odd Parents = Mr Tunner
5)      Kappa Mikey = Gonard
6)      Ben & Izzy = Wells / Jake
7)      Bokenger = Gaja / Makino
8)      Go Onger = Shoukyaku
9)      Gaiking = Yamma / Galis
10)   Hulk & The Agents Of Smash = Red Hulk